Luar Negara

Penyerang Muda Indonesia, Ezra Walian Sertai Sesi ‘Trial’ Bersama West Ham United

Penyerang muda Indonesia kelahiran Belanda, Ezra Walian dilaporkan sedang menjalani ‘trial’ bersama kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham United.

Pemain berusia 19 tahun ini telah dipanggil menyertai skuad U22 Indonesia untuk persiapan Sukan SEA, tetapi tidak hadir menyertai kem latihan sehingga tamat sesi percubaan bersama skuad The Hammers.

Memetik laporan media dari Indonesia, West Ham United akan memutuskan akan menawarkan kontrak kepada Ezra Walian ataupun tidak selewat-lewatnya pada awal hari Rabu ini. Selepas mendapat keputusan dari pihak West Ham, beliau akan menyertai latihan bersama skuad U22 Indonesia menjelang Sukan SEA di Kuala Lumpur minggu hadapan.

Ezra Walian, dilahirkan di Amsterdam mempunyai darah Indonesia melalui bapanya yang berkahwin dengan ibunya seorang warga Belanda. Beliau menyertai pasukan akademi Jong Ajax pada 2012 dan pernah mewakili Belanda dalam kejohanan peringkat remaja.

Beliau telah meninggalkan Ajax selepas tamat kontrak pada musim panas dan dikaitkan dengan perpindahan ke England.

Bolton Wanderers serta Hull City juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain ini sebelum Ezra Walian menyertai sesi percubaan bersama West Ham United.