Liga Super Malaysia

Kemenangan Pahang ke atas Kedah bantu JDT raih kejuaraan liga super kali keempat

Johor Darul Ta’zim (JDT) sah ditabal sebagai juara liga super 2017 walaupun mereka kalah kepada Selangor, 2-1 di Stadium Selayang malam tadi. Ini adalah kejuaraan kali ke empat berturut-turut selepas mereka menjuarainya pada tahun 2014, 2015, dan 2016.

Sejarah itu tercipta susulan kekalahan 1-2 pesaing terdekat mereka, Kedah kepada Pahang dalam satu lagi perlawanan liga super di Stadium Darul Makmur yang turut berakhir malam tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan persaingan seterusnya kini tertumpu kepada perebutan naib juara liga super. Antara pasukan yang masih berpeluang ialah Kedah, Pahang, Felda United, Selangor dan Perak.

Kejayaan itu pastinya juga bakal memberi lebih banyak masa buat skuad Harimau Selatan meraikan pencapaian mereka musim ini ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal berehat bagi beri laluan kepada persiapan skuad kebangsaan dan Sukan SEA.

Dalam aksi malam tadi, JDT dilihat lebih tenang untuk menguasai permainan namun ketika aksi memasuki minit ke-20, Selangor tiba-tiba garang, bermula dengan percubaan Francis Forkey Doe namun rembatan tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-26 dan ke-29, Amri Yahyah dan Forkey Doe terus mengucar kacirkan pertahanan pasukan pelawat namun aspek penyudah terus mengecewakan tuan rumah.

Ketika Selangor ghairah mengatur serangan, Ignacio Insa menceriakan penyokong pelawat pada minit ke-39 dengan gol pembukaan apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti menuju tepat ke gawang Selangor sebelah kanan.

Lapan minit aksi bersambung, Amri cemerlang menempatkan diri di posisi terbaik untuk melepaskan percubaan sebaliknya rembatan dilakukannya dinafikan penjaga lawan, Izham Tarmizi Roslan.

Bagaimanapun, minit ke-59, Amri tidak mempersiakan peluang kedua untuk menyamakan kedudukan selepas menerima bola hantaran ke dalam daripada Muhammad Syahmi Safari.

Keputusan P Maniam memasukkan Andik Vermansah menggantikan Saiful Ridzuwan Selamat membuahkan hasil, apabila tonggak import dari Indonesia itu meledak gol kedua buat Selangor pada minit ke-78 untuk beri tiga mata buat Selangor.