Liga Super Malaysia

PKNP FC sedia lakar satu lagi sejarah layak ke Liga Super 2018

Pasukan yang kurang dikenali, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC membuktikan mereka mampu mencabar pasukan elit liga perdana seperti Kuala Lumpur, Terengganu dan Negeri Sembilan untuk merebut takhta liga perdana dan layak ke saingan Liga Super 2018. Daripada sebuah pasukan kerdil yang dipandang sepi oleh peminat kini anak buah Abu Bakar Fadzim mendapat sanjungan dan pujian peminat berikutan kejayaannya mengungguli kumpulan A dan sah layak ke suku akhir Piala Malaysia 2017.

Walaupun menduduki tempat keempat Liga Perdana, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu membuktikan mereka mampu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan lawan lebih berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Ketika ini, pendahulu, Kuala Lumpur dan pasukan tangga kedua, Terengganu masing-masing mengutip 38 mata tetapi dipisahkan melalui perbezaan jaringan manakala PKNP pula terikat 37 mata dengan Negeri Sembilan yang berada di tangga ketiga.

Dengan hanya baki empat perlawanan, jelas perebutan dua kedudukan teratas Liga Perdana yang menjanjikan penampilan ke Liga Super 2018 lebih menjurus kepada kelompok empat pasukan teratas ini. Jadi, tidak hairanlah jika Abu Bakar mengakui anak didiknya semakin terasa bahang bagi memenuhi tuntutan untuk meraih mata penuh dalam setiap perlawanan dan terpaksa mengharungi banyak perlawanan tanpa tempoh rehat yang cukup.

“Saya dapat lihat tekanan pada setiap pemain kerana kami perlu menang setiap perlawanan bagi mencapai  impian kami untuk terus menghambat Terengganu dan Kuala Lumpur.”

“Kami tidak boleh keciciran sebarang mata dalam baki empat perlawanan ini. Semuanya penting dan akan menjadi penentu,” katanya yang mengakui mereka turut mengharapkan tiga pesaing kuat itu akan keciciran mata dalam pertembungan sesama sendiri.” katanya kepada berita harian. 

 

Kejayaan mengharungi sembilan perlawanan sepanjang Julai yang menyaksikan mereka turun beraksi dalam tempoh tiga hari petanda pasukan Bakar punyai perwatakan mantap serta tahap kecergasan tinggi.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini . Kredit pada semua pemain atas usaha keras hingga meletakkan pasukan di persada,” katanya.

Begitupun Bakar berkata tugasan mereka tidak terhenti setakat kejayaan ke suku akhir Piala Malaysia saja kerana jika boleh mahu menjulang piala berprestij itu.

Selain itu Bakar dan anak buahnya turut menyimpan impian untuk muncul dua pasukan teratas Liga Perdana sekali gus layak ke Liga Super 2018.