Berita

Penyokong Indonesia gelar Ong Kim Swee sebagai “Mourinho Asia Tenggara”

Persiapan ala kadar sebelum skuad Malaysia U22 berlepas ke Bangkok untuk menghadapi saingan kelayakan AFC U23 telah menarik tumpuan media Indonesia sehingga jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mendapat gelaran “Mourinho Asia Tenggara” oleh penyokong Indonesia kerana kejayaan membawa Malaysia layak ke kejohanan AFC U23.

Malaysia mencipta kejutan apabila menjuarai kumpulan H dalam saingan kelayakan walaupun dengan tidak melakukan persiapan yang secukupnya tanpa kelibat beberapa pemain yang enggan melapor diri di kem latihan pusat. Sebelum berlepas ke Bangkok, Ong Kim Swee hilang 6 pemain daripada pasukan JDT, Pahang dan Penang dan menghadapi masalah untuk mengumpul pemain yang masih terikat dengan komitmen bersama pasukan masing-masing untuk hadapi saingan liga.

Berbekalkan persiapan selama 5 hari dan sempat mengadakan perlawanan persahabatan menentang Myanmar, skuad Malaysia U22 berjaya mengalahkan Indonesia U22 dengan jaringan 3-0 di perlawanan pertama. Perlawanan ini menjadi kunci utama si Mourinho Asia Tenggara untuk mengambil kesempatan melayakkan diri ke kejohanan AFCU23. Indonesia menurunkan barisan terbaiknya namun mudah ditewaskan oleh taktikal serangan balas Kim Swee.

Kim Swee patut bergembira. Ia merupakan jurulatih yang percaya dengan kemampuan pemain, meskipun dalam pilihan pemain yang terhad ditambah dengan disiplin dan taktik menyerangnya yang menjadi.

“Untuk para pemain, kamu semua luar biasa. Untuk para staf, anda semua membuat semua ini jadi kenyataan. Asia, kami datang !” kata Kim Swee di twitter peribadinya setelah memastikan Malaysia layak ke Piala Asia U23.