Asia AFC U23 Championship

Kesilapan strategi punca Indonesia kalah kepada Malaysia

Pasukan Indonesia U22 terpaksa menelan kekalahan buruk dalam perlawanan pertama Kelayakan AFC U23 kepada Malaysia di Stadium Nasional Supachalasai semalam selepas tewas 3-0 kepada skuad bimbingan Ong Kim Swee.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Syafiq Ahmad, Jafri Firdaus Chew, dan N. Thanabalan. Selepas perlawanan itu, jurulatih pasukan Indonesia U22, Luis Milla memberikan alasan kesilapan strategi yang dirancang olehnya gagal memerangkap pasukan Malaysia.

“Masalahnya ada di separuh masa pertama. Gol pertama Malaysia membuat kami menjadi semakin sukar. Gol itu membuatkan mental pemain kami agak lemah sepanjang 20 minit awal. Di separuh masa kedua kami bermain lebih baik. Namun segalanya tidak menjadi karana sudah ketinggalan tiga gol,” jelas Luis Milla

Dalam perlawanan tersebut, Luis Milla tidak menurunkan tonggak utama pasukan, Evan Dimas dan pemain muda yang berpengalaman, Hansamu Yama dalam kesebelasan utama. Luis Milla menganggap percaturan ini sebagai strategi untuk memasukan mereka di separuh masa kedua.

“Mengenai Evan dan Hansamu yang tidak diturunkan pada separuh masa pertama, itu sebenarnya sebahagian daripada strategi yang telah dirancang. Mereka ini pemain penting, jadi saya memasukkan Evan pada separuh masa kedua dan corak permainan menjadi lebih baik. Tetapi kami sudah terlambat kerana ketinggalan tiga gol”

“Saya tahu perlawanan ini penting. Saya sudah menurunkan pemain terbaik dalam perlawanan ini. Bagi saya, 23 pemain yang ada ini sama bagus. Namun, Hansamu dan Evan saya akan pastikan mereka bermain pada perlawanan yang seterusnya,” kata bekas jurulatih Sepanyol itu.

Pasukan Indonesia U22 akan menentang Mongolia pada hari jumaat ini. Mereka memerlukan kemenangan ke atas Mongolia dan Thailand untuk mencerahkan peluang layak ke Kejohanan AFC U23 di China tahun depan.