Skuad Malaysia U15 tempah tiket ke separuh akhir kejohanan AFF U16

Pasukan Bawah 15 Tahun negara mara ke separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Chonburi, Thailand.

Skuad muda Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu mara selepas menewaskan Kemboja 4-2 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B pada Selasa.

Pada perlawanan tersebut, Muhammad Amirul Azzim Mohd Ruzki membuka jaringan pertama negara pada minit ke-21 sebelum Muhammad Danial Amali menambah gol kedua minit ke-30.

Biarpun pemain-pemain lawan cuba mengasak memberi tekanan, skuad di bawah bimbingan jurulatih Raja Azlan Shah Raja Sho’ib itu berjaya menamatkan babak pertama dengan bergaya.

Gambar kredit : NFDP

Bagaimanapun, kealpaan barisan pertahanan negara memakan diri selepas Kemboja merapatkan jaringan pada minit ke-47.

Selepas itu beberapa pertukaran pemain dilakukan, namun skuad negara dikawal rapi dan gagal menambah jaringan.

Kemboja sekali lagi tampil garang apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

Tersentak dengan jaringan pihak lawan, pemain negara Amirul Ashrafiq bertindak bijak melakukan sepakan lambung melepasi penjaga gol Kemboja, minit ke-72.

Minit terakhir perlawanan (82′), Amirul Ashrafiq sekali lagi menjadi sebutan apabila berjaya melaksanakan sepakan penalti sekaligus mengukuhkan kedudukan skuad negara hingga ke wisel terakhir.

Malaysia bakal bertemu tuan rumah, Thailand yang merupakan juara Kumpulan A pada saingan separuh akhir pada 20 Julai ini.

Manakala satu lagi perlawanan sama menyaksikan juara Kumpulan B, Vietnam bertemu Australia (naib juara kump A).

sumber: mstar