Asia Malaysia

Luis Milla yakin pasukan Indonesia akan mengalahkan Malaysia petang ini

Jurulatih skuad kebangsaan Indonesia U22, Luis Milla yakin dengan kemampuan pasukannya dan akan mengalahkan Malaysia U22 pada perlawanan pertama kelayakan AFC U23 kumpulan H petang ini di stadium nasional Supachalasai.

Pasukan Indonesia sudah melakukan persiapan rapi sejak bulan Februari dengan proses pemilihan dilakukan dengan intensiti yang tinggi dalam kem latihan pusat serta diuji dalam perlawanan persahabatan di peringkat antarabangsa.

Mereka tiba di Bangkok lebih awal, Luis Milla mempunyai keyakinan tinggi dengan anak buahnya dan kerja kerasnya pasti akan terbayar pada perlawanan petang ini.

Bekas jurulatih sepanyol itu menegaskan pemainnya akan berusaha untuk mendapatkan kemenangan pertama petang ini.

“Pada perlawanan menentang Malaysia, kami akan menurunkan barisan terbaik kerana kami sudah berlatih dan membuat persiapan rapi selama ini. Saya mempunyai keyakinan tinggi dengan kemampuan anak buah saya dan perlawanan ini akan jadi lebih menarik. Malaysia juga mahu menang, tetapi kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan ini,” katanya kepada media.

Bercakap mengenai peluang Indonesia dalam kelayakan AFC U23, bekas pemain Barcelona dan Real Madrid itu yakin Indonesia akan tempah tiket beraksi dalam saingan AFC U23 di China tahun depan.

“Saya sangat gembira dengan keadaan pasukan saya. Kami sudah sedia untuk bertanding. Kami menghormati semua pasukan lawan. Mereka semua pasukan yang kuat dan mempunyai kelebihan dan gaya permainan yang berbeza. Kami sasar untuk layak ke kejohanan AFC U23,” ujarnya.

Selepas menentang Malaysia U22, skuad Indonesia akan bertemu dengan pasukan Mongolia U22 pada hari Jumaat ini sebelum bertemu pasukan Thailand U22 pada perlawanan terakhir kelayakan AFC U23 pada hari ahad.

Berikut ialah senarai pemain pasukan Indonesia U22 :

PENJAGA GOL
Kurniawan Kartika Ajie (Persiba Balikpapan)
Moch Diky Indriyana (Bali United)
Satria Tama(Persegres Gresik United)


PERTAHANAN
Gavin Kwan (Barito Putera)
Bagas Adi (Arema FC)
Andy Setyo Nugroho (PS TNI)
Hansamu Yama Pranata (Barito Putera)
Putu Gede Juni Antara (Bhayangkara FC)
Osvaldo Haay (Persipura)
Ryuji Utomo (Persija)
Rezaldi Hehanusa (Persija)
Ricky Fajrin Saputra (BaliUnited)


TENGAH
Evan Dimas Darmono (Bhayangkara FC)
Hanif Abdurrauf Sjahbandi (Arema)
Muhammad Hargianto (Persija)
Gian Zola Nasrulloh (Persib)
Febri Hariyadi (Persib)
Septian David Maulana (Mitra Kukar)
Asnawi Mangkualam Bahar (PSM)
Saddil Ramdani (Persela)


PENYERANG
Marinus Mariyanto Wanewar (Persipura)
Yabes Roni Malaifani (Bali United)
Ahmad Nur Hardianto (Persela)