Luar Negara

Liverpool yakin akan bergelar juara liga dengan kehadiran Mohamed Salah

Bintang bolasepak Mesir, Mohamed Salah kini sah menjadi milik pasukan Liverpool selepas berpindah dari kelab AS Roma. Media eropah melaporkan Liverpool membayar 34 juta euro (AS$38 juta) untuk mendapatkan Salah, yang kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas dua tahun setengah meninggalkan Chelsea.

Pemain berusia 25 tahun itu begitu menyerlah di Serie A sehinggakan digelar antara bakat terbaik yang pernah lahir dalam liga di Eropah ketika bersama Basel. Dia kemudian berhijrah ke Chelsea dengan bayaran perpindahan kira-kira 11 juta pound (AS$14 juta) pada tahun 2014.

Selepas enam bulan di Fiorentina, menjaringkan enam gol pada tujuh kemunculannya, Salah kemudian terbukti menjadi kuasa utama pula kepada peningkatan prestasi Roma.

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, ingin mempertajamkan kualiti skuadnya yang bakal mengharungi kempen Liga Juara-Juara 2017-18. Salah akan menjadi sebahagian daripada barisan serangan Liverpool yang terdiri daripada Sadio Mane, Roberto Firmino, Divock Origi dan Daniel Sturridge.

Pemain berusia 25 tahun itu akan menjalani latihan di padang latihan Melwood pada hari Khamis dan akan memakai baju No 11 musim depan, dengan Roberto Firmino beralih untuk mengambil baju No 9.

“Salah mempunyai gabungan pengalaman dan potensi yang sempurna – ini merupakan kemasukan pemain yang sangat menarik untuk kami,” kata Klopp kepada Liverpoolfc.com.

“Dia tahu kualiti Liga Perdana, dia mempunyai pengalaman dalam Liga Juara-Juara dan dia adalah salah satu pemain paling penting di negaranya. Rekodnya di Itali juga agak cemerlang dan dia mempunyai ciri-ciri yang akan meningkatkan pasukan kami. Saya telah mengikuti prestasinya sejak dia muncul di Basel dan dia telah menjadi pemain yang sangat baik.”

“Dia akan memberi kami lebih banyak ancaman menyerang dan kami sudah kuat dalam bahagian serangan ini. Saya suka bahawa kami akan menjadikannya lebih berdaya saing.”

“Yang paling penting bagi kami, adalah dia lapar gol, sentiasa bersedia dan bersemangat untuk menjadi lebih baik dan bertambah baik, dia percaya pada apa yang kami cuba lakukan di Liverpool dan sangat berminat untuk menjadi sebahagian daripadanya. Dia begitu teruja dengan sokongan daripada penyokong kami yang hebat.”

“Dia seorang pemain yang mahu menang dan sentiasa menang di peringkat tertinggi, dia tahu dia akan dapat memenuhi cita-citanya dengan Liverpool.”

“Saya mengalu-alukan dia dan keluarganya ke dalam keluarga Liverpool kami.” kata Klopp.