AFC U23 Championship

OKS panggil Matthew Davies perkuatkan skuad Malaysia U22

Senarai 26 pemain yang telah dipilih oleh ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee ke kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 5 Julai ini sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok, Thailand dari 19 hingga 23 Julai 2017.

Daripada senarai itu, dua pemain daripada senarai 24 pemain bagi kem latihan pusat sebelum ini yang berakhir selepas perlawanan persahabatan bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka iaitu K Kannan (Selangor) dan Sean Eugene Selvaraj (Negeri Sembilan) telah digugurkan.

Sebagai ganti, Datuk Ong Kim Swee telah memanggil empat pemain baharu iaitu Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Farhan Roslan (Kedah) dan Arif Fadzilah Abu Bakar (T-Team) bagi melengkapkan senarai 26 pemain untuk kem latihan pusat kali ini.

Pasukan B-22 ini yang turut dikenali sebagai skuad Projek Sukan SEA 2017 bakal menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu skuad B-22 Myanmar di Stadium Shah Alam pada 13 Julai sebelum Kim Swee menamakan senarai akhir 23 pemain yang akan berlepas ke Bangkok, Thailand pada 17 Julai bagi menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018.

Tiga perlawanan yang bakal dihadapi skuad Kim Swee pada saingan kelayakan bagi Kumpulan H di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok itu nanti adalah bertemu Indonesia pada 19 Julai diikuti Thailand (21 Julai) dan Mongolia (23 Julai).

Mereka akan kembali ke tanah air, sehari selepas itu dan bakal berkumpul semula untuk kem latihan pusat fasa akhir bermula 1 Ogos bagi menghadapi acara bola sepak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur bermula 14 Ogos hingga 29 Ogos 2017.

Senarai 26 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat skuad Malaysia U22

sumber: FAM