Luar Negara

Nasihat Kepada Chanathip Songkrasin Sebelum Berangkat Ke Jepun Dari Bapanya

Semalam, pemain bintang Muangthong United dan pasukan kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin telah tiba di Sapporo, Hokkaido untuk beraksi bersama kelab barunya Hokkaido Consadole Sapporo.

Chanathip keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Chitose, kira-kira jam 8:40 malam, disambut oleh para pegawai dan penyokong pasukan Hokkaido Consadole Sapporo. Selepas itu, telah diadakan satu sidang media selama 30 minit, dimana wakil kami berkesempatan untuk mendapatkan komen dari Chanathip berkenaan perpindahan beliau.

Selepas sidang media itu, satu sesi autograf telah diadakan dan para penyokong yang hadir telah berpeluang untuk beramah mesra bersama pemain baru mereka.

Wakil Football Tribe telah mengajukan beberapa soalan kepada Chanathip ketika sesi bersama media seperti dibawah:

TRB: Apa perasaan anda selepas melihat ramai media dan penyokong menanti di ruang ketibaan?
Chanathip: Saya rasa gembira dan bangga melihat ramai media dan penyokong memberikan perhatian kepada saya. Saya tidak menjangkakan perkara ini. Saya hanya seorang yang kerdil dari sebuah negara yang kecil datang untuk satu pertandingan yang besar.

TRB: Apakah sasaran anda di Jepun?
Chanathip: Saya akan cuba untuk mempertingkatkan permainan saya dan juga bola sepak Thailand. Jika saya berjaya, mungkin akan membuka lebih peluang kepada pemain Thailand lain untuk beraksi dalam J League.

TRB: Sebelum anda datang ke Sapporo, anda telah berpeluang untuk berhadapan dengan pasukan kebangsaan Jepun, Kashima Antlers dan Kawasaki Frontale. Apa yang anda belajar dari pengalaman itu?
Chanathip: Ia merupakan satu pengalaman berharga untuk bertemu pasukan kebangsaan Jepun dan pasukan J League, kerana banyak membantu saya untuk mengetahui gaya permainan mereka. Jadi saya mampu untuk mempersiapkan diri sebelum datang ke Sapporo.

TRB: Apakah nasihat dari bapa sebelum terbang ke Sapporo? ( Bapa beliau merupakan jurulatih pertamanya )
Chanathip: Dia hanya beritahu supaya terus berjuang. Ia tidak sama seperti bola sepak kita (Thailand). Awak akan berhadapan dengan banyak kesukaran dan perlu melepasi halangannya. Buat yang terbaik.

TRB: Komen untuk para penyokong?
Chanathip: Terima kasih kerana menyokong saya, dan saya akan melakukan yang terbaik.

Menurut maklumat yang diterima, Chanathip akan menyertai latihan pasukan Hokkaido Consadole Sapporo hari ini. Berita lanjut akan menyusul kemudian.