Liga Super Malaysia

FAM tangguh pelaksanaan VAR dalam Liga Malaysia ke tahun 2019

Jawatankuasa Pengadil FAM pada mesyuarat kali pertama bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam telah sebulat suara mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim supaya menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan VAR dalam saingan Liga-M bagi musim 2018 berdasarkan kepada beberapa perkara utama yang belum meyakinkan jawatankuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Hj Mohd Salleh berkata sehingga kini VAR masih lagi dalam peringkat percubaan sama ada secara ‘off-line’ mahupun ‘on-line’ di beberapa buah negara Eropah dan sebilangan kecilnya di COMMEBOL, CONCACAF, AFC dan begitu juga FIFA.

“Bagi membantu mempercepatkan projek tersebut, Tunku Presiden telah memperuntukkan sejumlah besar bajet untuk membolehkan kajian dan penelitian terhadap keberkesanan sistem ini dapat dilakukan dengan kadar segera. Sasaran awal projek ini adalah untuk memulakan latihan secara ‘off-line’ mulai Julai 2017 dan seterusnya mempraktiskan penggunaannya secara ‘on-line’ pada perlawanan peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017. Seterusnya tahun 2018 akan dijadikan kemuncak kepada perlaksanaan projek ini secara rasmi dalam saingan Liga Super secara keseluruhannya. Itu adalah sasaran FAM,” jelasnya.

Salah seorang ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, Encik Nasaruddin Ishak telah dilantik sebagai Pengurus Projek VAR/FAM dan dibantu oleh Subkhiddin sendiri dan juga seorang lagi ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, Encik Ravichandran Chappinamuthu manakala Ketua Unit Pengadil FAM, Tuan Haji Kassim Kadir Bacha pula memainkan peranan sebagai pusat penyelarasan projek.

Langkah awal adalah dengan menjemput Syarikat Hawk-Eye Innovations iaitu salah sebuah daripada beberapa buah syarikat pembekal VAR yang telah dikenalpasti oleh IFAB, sebagai antara yang terbaik untuk memperkenalkan konsep penggunaan VAR ini kepada FAM. Program ini telah diadakan pada 12 April 2017 di Johor Bahru dan telah dihadiri oleh sebilangan besar pengadil utama dalam Liga-M serta mendapat liputan media.

Syarikat Hawk-Eye Innovations iaitu salah sebuah daripada beberapa buah syarikat pembekal VAR yang telah dikenalpasti sebagai antara yang terbaik untuk memperkenalkan konsep penggunaan VAR ini kepada FAM.

 

Lanjutan daripada itu, FAM/FMLLP telah menugaskan Pengurus Projek VAR dan Ketua Unit Pengadil FAM untuk ke Korea Selatan pada 18 hingga 24 Mei 2017 bagi mengkaji secara lebih mendalam keberkesanan perlaksanaan VAR di dalam kejohanan FIFA U20 World Cup Korea Republic 2017. Pada masa yang sama, kedua-dua mereka juga telah mengadakan perbincangan secara rasmi dan mengikuti keseluruhan program VAR yang sedang diperkenalkan kepada pengadil dan pegawai bola sepak di Korea Selatan.

Seterusnya pada 29 Mei hingga 2 Jun 2017, Encik Nasaruddin dan Tuan Haji Kassim telah ke Zurich, Switzerland bagi mengikuti ‘VAR Workshop 4’ anjuran IFAB. Mereka berdua telah mengadakan perbincangan dan mendapatkan pelbagai maklumat dari setiap negara anggota yang telah lebih awal memulakan projek ini. Berdasarkan kepada laporan terperinci yang telah disediakan kepada semua ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, kesimpulan yang perlu dibuat adalah projek ini memerlukan masa dan ia tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru di Liga Malaysia.

Pihak Jawatankuasa Pengadil FAM pada mesyuarat kali pertama bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam telah sebulat suara mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada Tunku Presiden supaya menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan VAR dalam saingan Liga-M bagi musim 2018 berdasarkan kepada beberapa perkara utama yang belum meyakinkan jawatankuasa.

 Antaranya adalah seperti berikut:

1. VAR masih lagi dalam proses eksperimen sejak dari awal tahun 2017 dan semua negara anggota yang terlibat masih lagi dalam proses penyesuaian, di mana semua laporan berkaitan perlaksanaannya diserahkan kepada IFAB untuk diselaraskan penambahbaikannya pada masa hadapan.

2. Jawatankuasa juga mengkaji beberapa siri kelemahan VAR yang berlaku sepanjang eksperimen ini dilakukan seperti di Hyundai A-League Australia dan yang terkini di kejohanan FIFA U20 World Cup Korea Republic 2017.

3. VAR dijangka akan digunakan sepenuhnya dalam kejohanan FIFA World Cup 2018 Russia. Segala keputusan berkaitan keberkesanan VAR dijangka hanya akan diperolehi selepas daripada kejohanan terbesar ini. Untuk itu, adalah sangat bersesuaian supaya hasil daripada laporan yang bakal disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal FIFA selepas daripada kejohanan ini dapat dijadikan panduan kepada semua negara anggota termasuk Malaysia untuk memutuskan keberkesanan VAR dalam saingan Liga-M.

4. Kesimpulannya, jawatankuasa berpendapat VAR masih lagi ‘projek yang separa matang’ dari sudut keberkesanannya dan tidak sesuai sama sekali untuk menjadikan Liga-M musim 2018 sebagai bahan kajian yang memungkinkan lebih banyak salah faham dalam pengurusan bola sepak negara.

5. Oleh itu adalah lebih wajar untuk FAM menunggu sehingga VAR benar-benar menepati keperluan dan dinyatakan secara jelas dalam “Laws of The Game 2018-2019”.

 

sumber: FAM