KAFA Rombak Struktur Pengurusan Tertinggi Pasukan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini mengumumkan perubahan struktur barisan pegawai pasukan The Red Warriors bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri, Datuk Rosmadi Ismail berkata, satu rombakan telah dibuat membabitkan beberapa jawatan penting di peringkat tertinggi pasukan itu.

Menurutnya, pengarah teknikal Kafa, Alfredo Gonzales dilantik selaku pengurus baharu menggantikan tempat beliau yang akan bertindak selaku ketua kontinjen, selepas ini.

Penolong pengurus yang juga merupakan Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah masih kekal tetapi dengan jawatan penolong ketua kontinjen.

Ketua jurulatih, Zahasmi Ismail masih kekal menggalas tugas tersebut sambil jawatan lain termasuk penolong dan pembantu penolong jurulatih turut dikekalkan.

“Bagi mengharungi baki perlawanan yg dirasakan semakin mencabar maka Kafa dan pengurusan pasukan perlu membuat perubahan dan penambahbaikan dengan mengambil pendekatan lebih profesional.

“Setiap individu yang berada dalam pasukan perlu memberi komitmen 100 peratus,” katanya.

Tambahnya, penerapan teknik bola sepak Amerika Latin dalam pasukan yang dibawa masuk oleh Gonzales pasti menuntut perubahan dalam setiap aspek pentadbiran pasukan.

“Pengurus pasukan merangkap pengarah teknikal berperanan dalam merancang, menyediakan dan mengadakan modul latihan. Beliau diberi tanggungjawab penuh dan akan dibantu ketua jurulatih dalam menyediakan satu pasukan mantap yang mampu bersaing dalam baki Liga Super dan kempen Piala Malaysia, musim ini.

“Malah, mereka akan bekerjasama dalam merencana dan mengimplementasikan setiap perkara melibatkan pasukan, bermula daripada sekarang,” katanya.

Ujarnya, langkah penyusunan semula barisan pegawai ini diharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama berpasukan selain memenuhi hasrat penyokong untuk melihat Kelantan meraih pencapaian cemerlang, pada musim ini