Liga Super Malaysia

Impak Keputusan 3 Perlawanan Terhadap AFC MA Ranking Malaysia Julai 2017

Seperti mana yang sudah sedia maklum, selepas kemaskini AFC MA Ranking pada 4 Jun lalu, Malaysia berjaya memintas Hong Kong untuk berada dikedudukan ke 6 Asia Timur. Kedudukan ini jika kekal sehingga November 2017, akan memberikan 1 slot automatik peringat kumpulan AFC Champions League dan 1 slot kelayakan play off 2 musim 2019 dan 2020.

Dalam situasi sekarang, Malaysia dan Hong Kong merupakan 2 pasukan yang paling rapat bersaing untuk merebut slot tersebut.

 

Tiada Lagi Mata Dari Wakil Kelab

Oleh kerana wakil kedua-dua negara dalam kejohanan kelab peringkat Asia sudah pun terkeluar, maka tiada lagi pertambahan mata dari kelab untuk pengiraan AFC MA Ranking.

Persaingan untuk merebut kedudukan ke 6 AFC MA Ranking ini akan terus berlangsung menggunakan mata hasil dari perlawanan pasukan kebangsaan masing-masing. Lebih menarik, dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia dan Hong Kong berada dalam satu kumpulan. Mahu atau tidak, kemenangan amat diperlukan untuk mematikan perjuangan lawan.

 

Kedudukan Semasa AFC MA Ranking

Malaysia mendahului Hong Kong dengan kelebihan 1.049 mata. Untuk lebih jelas, kami pecahkan 1.049 mata ini kepada 2 komponen utamanya iaitu 90% mata kelab dan 10% mata pasukan kebangsaan.

Komponen 1 – 90% Mata Kelab:

  • Malaysia mengutip 28.448 mata, Hong Kong mengutip 27.025 mata, perbezaan +1.423 mata
  • Jumlah mata ini akan kekal sehingga kemaskini Ogos 2017. Kemaskini September dijangka berubah bergantung kepada keputusan keputusan perlawanan suku akhir pertama kelab Al-Ain dari UAE dalam AFC Champions League.
  • Malaysia akan tetap mempunyai kelebihan berbanding Hong Kong, walau apa sekalipun keputusan Al-Ain.
  • Jangkaan kami untuk kemaskini Julai 2017, tiada pergerakan mata.

Komponen 2 – 10% Mata Pasukan Kebangsaan:

  • Malaysia mengutip 1.785 mata, Hong Kong mengutip 2.159 mata, perbezaan -0.374 mata
  • Satu-satunya cara Hong Kong untuk memintas Malaysia dalam AFC MA Ranking adalah dengan mengutip sebanyak mungkin mata perlawanan pasukan kebangsaan, untuk terus menjarakkan perbezaan komponen ini.
  • Pada 7 Jun 2017, Hong Kong telah seri 1-1 bertemu Jorda dalam perlawanan persahabatan, dan mereka telah berjaya meraih 77.35 mata.

 

Iran – Uzbekistan, DPR Korea – Hong Kong Dan Malaysia – Lebanon

Dengan Iran berjaya menewaskan Uzbekistan awal pagi tadi, bermakna Iran akan mengumpul 893 mata dalam FIFA ranking. Kemenangan ini juga menjadikan Iran sebagai pasukan Asia pertama layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Berdasarkan keputusan ini, berikut adalah perbezaan mata bagi komponen 2 – 10% Mata Pasukan Kebangsaan diantara Malaysia dan Hong Kong.

  • Hong Kong mampu menjarakkan kedudukan bagi komponen 2 dari -0.374 mata kepada -1.232 mata. Situasi ini akan berlaku sekiranya Hong Kong menang keatas DPR Korea dan Malaysia tewas kepada Lebanon.
  • Perbezaan komponen 2 ini akan menjadi minimun -0.090 mata sahaja, sekiranya Hong Kong tewas kepada DPR Korea dan Malaysia menang keatas Lebanon.

Untuk pengiraan seterusnya, keputusan perlawanan Iran adalah penting kerana ia merupakan penanda dalam penentuan mata komponen 2 ini.

 

Adakah Hong Kong Akan Memintas Malaysia Untuk AFC MA Ranking Julai 2017?

Jawapannya adalah tidak.

Berdasarkan mata komponen 2 maksimum yang mampu diperolehi Hong Kong 1.232 mata, jelas mereka jauh didepan.

Tetapi Malaysia masih mempunyai mata dari komponen 1 hasil dari pertandingan kelab peringkat Asia berjumlah 1.423 mata. Maka perbezaan 0.191 mata untuk Malaysia kekal dikedudukan 6 AFC MA Ranking Julai 2017.

Nota: Ini merupakan ramalan dari pihak kami sahaja. Semua keputusan rasmi adalah tertakluk kepada AFC.