Malaysia

3 perlawanan persahabatan menanti skuad Malaysia U22 di China

Skuad Malaysia U22 bakal berangkat ke China pada hari esok untuk menghadapi 3 siri perlawanan persahabatan yang telah diaturkan di Guangzhou.

Latihan pusat kali ini berlangsung selama 26 hari sejak semalam di Wisma FAM. Seramai 25 pemain melaporkan diri termasuk pemain yang terlibat dalam perlawanan AFC Cup 2017 bersama pasukan Johor DT.

Skuad yang dipersiapkan untuk kejohanan Sukan SEA ini akan menghadapi 3 perlawanan persahabatan di China iaitu bertemu pasukan kebangsaan China U22 (10 Jun), pasukan simpanan Guangzhou R&F (13 Jun) dan juga pasukan simpanan Guangzhou Evergrande (15 Jun).

Jadual perlawanan skuad Malaysia U22 sepanjang berada di China.

Sementara itu, pengendali skuad Malaysia U22, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain sepanjang kem latihan pasukan.

“Kami sudah berlatih beberapa hari dan saya lihat pasukan ini semakin baik dan menunjukkan peningkatan. Mereka meningkat dan tahap prestasi pemain secara keseluruhan amat baik sekali,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran tiga pemain baru bagi menggantikan Khairil Anuar Zamri, Ahmad Azriddin Rosli dan Nur Shamie Iszuan Amin, beliau mengaku berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan mereka walaupun hanya menyertai latihan Khamis lalu.

Trio itu membabitkan pemain Kuala Lumpur Irfan Zakaria dan Sean Eugene Selvaraj serta L Kalaiharasan (Negeri Sembilan).

“Ketiga-tiga mereka dapat mengikut corak latihan dan juga kesemua ujian yang kami lakukan. Saya rasa mereka tidak mempunyai sebarang masalah besar menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan,” katanya.

Kelayakan AFC U22 dan Sukan SEA sama penting

Datuk Ong Kim Swee juga menegaskan dua kejohanan bakal diharungi dalam tempoh dua bulan sama penting dan sehubungan itu mahu barisan pemainnya sentiasa fokus.

Bermula dengan saingan Kelayakan B-23 Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 19-23 Julai ini, skuad kendaliannya akan meneruskan perjuangan dalam temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur pada pertengahan Ogos yang menyaksikan emas menjadi sasaran.

“Penting untuk mempunyai program yang cukup rapi. Paling mustahak, kedua-dua kejohanan itu sama penting meskipun bakal berlangsung dalam tempoh yang dekat.

“Kita harap dapat layak ke Piala AFC B-23 dan juga menjadi juara (raih emas) Sukan SEA nanti. Jadi kedua-duanya harus seimbang dengan setiap pemain perlu serius menghadapi kejohanan berkenaan.

 “Kami memandang serius kedua-dua kejohanan itu tanpa melebihkan salah satu saingan kerana ini skuad jangka panjang dan mereka harus berusaha meraih kemenangan dalam setiap aksi diharungi,” katanya.

sumber: Harian Metro