Liga Super Malaysia

Dollah dedahkan ramai pemain tawarkan diri untuk menyarung jersi Pahang

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mendedahkan beberapa pemain tempatan menawarkan diri untuk menyertai pasukan Pahang pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. Beliau juga berkata tiada keperluan untuk Pahang mengambil pemain baru dan akan mengekalkan barisan sedia ada yang beraksi cemerlang hingga membawa pasukan mara ke final Piala FA 2017.

“Apa yang saya boleh katakan ialah kami akan mengekalkan barisan sedia ada walaupun ada beberapa pemain berminat untuk bermain dengan kami. Komitmen dan prestasi terbaik yang dipersembahkan oleh pemain membuatkan tiada keperluan untuk kami menyenaraikan pemain baru”, katanya.

Setakat ini Pahang hanya membawa masuk pemain import baru dari Argentina yang berusia 22 tahun iaitu Yamil Romero bagi menggantikan pemain import dari Nigeria, Bright Dike. Produk dari akademi Boca Junior ini membuat penampilan sulung dalam perlawanan akhir Piala FA bertemu pasukan Kedah bulan lalu dan berjaya memberikan impak yang positif dalam skuad Pahang.

Aksi Romero ketika perlawanan akhir Piala FA bertemu pasukan Kedah

Pasukan Pahang memulakan sesi latihan mereka sejak hari rabu pada pukul 10 malam pada bulan Ramadhan ini bagi mengekalkan tahap kecergasan mereka. Pasukan liga M yang terlibat dengan kejohanan Piala Malaysia bakal berdepan jadual yang cukup padat selepas hari Raya Aidilfitiri ini.