Asia AFC Champions League

Kashima Antlers pecat jurulatih selepas tersingkir daripada saingan AFC Champions League 2017

Juara J-League 2016, Kashima Antlers telah memecat ketua jurulatihnya, Masatada Ishii yang telah membawa kelab mereka kepada gelaran domestik dan kedudukan naib juara di kejohanan FIFA Club World Cup tahun lepas, berikutan penyingkiran mereka dari saingan AFC Champions League. 

Kashima mengalahkan juara 2 kali AFC Champions League, Guangzhou Evergrande di Kashima Soccer Stadium pada petang Selasa minggu lepas tetapi telah disingkirkan melalui peraturan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan 2-2 dari segi agregat.

Kelab mengumumkan di laman web rasminya semalam mengenai Ishii akan digantikan oleh Takeshi Ogawa, yang telah bekerja sebagai penolong jurulatih di kelab itu. 

Ishii, yang pernah bermain untuk kelab Kashima Antlers sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pada tahun 2015, memenangi gelaran J League musim lepas apabila mereka mengalahkan Urawa Red Diamonds dalam perlawanan akhir J League Championship.

Kashima juga berjaya mara ke pusingan akhir FIFA Club World Cup di bawah Ishii , di mana mereka kalah pada masa tambahan kepada Real Madrid, satu persembahan terbaik yang pernah ditampilkan oleh sebuah kelab Asia dalam kejohanan berprestij itu.