Annuar Musa Umumkan L´Imam Seydi Sebagai Target Man Baru Kelantan

Dalam kenyataan terbaru dilaman sosial Facebook, Tan Sri Annuar Musa telah memuat naik status berkenaan pemain terbaru yang akan menyertai skuad Kelantan.

L´Imam Seydi, menjadi pilihan Tan Sri Annuar Musa untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta’zim baru-baru ini. Manakala Bako pula akan kembali bermain diposisi kegemarannya iaitu ‘attacking midfielder’.

“L´Imam Seydi akan menjalani beberapa ujian yang telah diwajibkan sebelum pulang bertemu keluarganya di Paris. Beliau akan kembali menyertai latihan sebaik sahaja Bako kembali dari menyertai skuad kebangsaan Lebanon.”

Selamat Berpuasa…Abou Bakr@BAKO akan kita gandingkan dengan SEYDI L IMAM di mana IMAM akan mengambil posisi yg di…

Dikirim oleh Tan Sri Annuar Musa pada 26 Mei 2017

Berdasarkan maklumat yang diterima, L´Imam Seydi pernah menjalani sesi pemilihan bersama gergasi Indonesia, Persib Bandung, namun keputusan pemilihan tidak berpihak kepadanya.

Dalam kenyataan itu juga Tan Sri Annuar Musa membuat keputusan untuk mengekalkan Zahasmi Ismail sebagai ketua jurulatih sambil dibantu oleh “jurulatih bersama” Alfredo Gonzalez, bagi memantapkan skuad Kelantan menjelang saingan TM Piala Malaysia 2017 nanti.

Selain itu juga, beberapa penambahbaikan akan dilakukan dengan kerjasama para penaja Kelantan untuk memberikan nafas baru  kepada pasukan The Red Warriors.

Sistem bonus baru juga akan diperkenalkan untuk kebaikan pemain dan gaji pemai yang tertunggak akan diselesaikan sebelum hari raya aidilfitri.