Malaysia

FAM Umum Senarai Pemain Malaysia Bertemu Lebanon

FAM telah mengumumkan senarai penuh pemain yang telah terpilih untuk menyertai latihan pusat untuk perlawanan bertemu Lebanon dalam satu kenyataan rasmi sebentar tadi.

Berikut senarai 26 pemain yang telah dipilih oleh ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Nelo Vingada untuk hadir ke kem latihan pusat di Johor Bahru, Johor bermula 29 Mei ini sebagai persediaan menghadapi perlawanan sulung Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 13 Jun ini.

Ini merupakan panggilan sulung oleh Vingada, pengendali berusia 64 tahun dari Portugal yang diumum sebagai jurulatih baharu pada 15 Mei lalu bagi menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee yang kini dilantik sebagai pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017.

Vingada akan dibantu oleh bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, 49, dan Joao Arnaldo Correia De Carvalho, 59, dari Portugal serta jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, 41 dan jurulatih kecergasan, Francisco Jose Bruto Da Costa, 36, dari India.

Seramai 13 pemain daripada skuad 22 pemain kendalian Kim Swee ke Manila bagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Filipina yang berkesudahan seri 0-0 pada 22 Mac lalu telah dikekalkan oleh Vingada untuk kem latihan pusat kali ini.

Sementara baki 13 lagi pemain merupakan sama ada muka baharu atau mereka yang dipanggil semula yang terdiri daripada 10 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safiq Rahim, Mahalli Jasuli, S Chanthuru, Azammuddin Akil, Amirulhadi Zainal, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Fazly Mazlan, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan serta tiga pemain Pahang iaitu Nor Azam Abdul Azih, Ahmad Syamim Yahya dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Bagi kem latihan pusat kali ini, seramai 15 pemain akan melapor diri pada Isnin ini (29 Mei) manakala 11 pemain JDT perlu melapor diri pada Jumaat (2 Jun) selepas mereka selesai tugasan Piala AFC 2017 bertemu Ceres di Filipina pada 31 Mei.