Liga Super Malaysia

Tahukah Anda Berapa Yuran Penyertaan Dan Keahlian J League

Dalam sesebuah liga bola sepak profesional, biasanya penganjur liga akan mengenakan beberapa bayaran asas kepada pasukan untuk menyertai liga yang dianjurkan itu.

Walaupun kita melihat sesebuah liga negara itu mempunyai banyak lapisan, tetapi akan ada pihak yang menganjurkan liga atau mengendalikan liga tersebut.

Kami mengambil J League sebagai contoh. Dalam hierarki bola sepak Jepun secara kasarnya ada 7 divisyen liga. Ada beberapa penganjur yang terlibat dalam menjayakan liga-liga dalam hierarki ini.

Japan Professional Football League ( J.League )
Hanya menganjurkan liga untuk 3 divisyen teratas sahaja. 3 divisyen ini mempunyia 54 pasukan bertanding.
– J1 League ( 18 pasukan )
– J2 League ( 22 pasukan )
– J3 League ( 17 pasukan )

Japan Football League
Lebih dikenali sebagai JFL League, pihak JFL hanya menganjurkan 1 divisyen liga sahaja yang terdiri dari 16 pasukan bertanding. Dahulunya JFL League adalah liga divisyen 3 Jepun sebelum kewujudan J3 League sekarang.

Untuk makluman juga, Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim ketika bersama FC Ryukyu, beraksi dalam JFL League dan bukannya J League.
– JFL League ( 16 pasukan )

Bagi Regional League pula, Jepun mewujudkan 9 Regional Football Association untuk mengendalikan liga divisyen 5 dan 6 ini.
– Regional League ( 9 Region / 134 pasukan ) – 2 divisyen

Dan bagi setiap prefecture, akan ada sebuah football association yang akan menguruskan liga dalam prefecture masing-masing.
– 44 Prefectural League + 5 Block Hokkaido League ( 1000+ pasukan )

Berapa Yuran Yang Dikenakan Untuk Bertanding?
Football Tribe Malaysia hanya akan menerangkan untuk liga dibawah kendalian Japan Professional Football League ( J.League ) sahaja.

Mengikut manual pertandingan J League Bab 3 Perkara 19, sesebuah pasukan yang layak bertanding dalam saingan J League akan dikenakan 2 jenis bayaran iaitu yuran penyertaan dan yuran keahlian.

Bagi yuran penyertaan pasukan dalam J1 League, setiap pasukan perlu membayar sebanyak 60 juta Yen ( RM2.3 juta), J2 League sebanyak 20 juta Yen ( RM760,000 ) dan untuk J3 League pula sebanyak 5 juta Yen (RM190,000).

Untuk yuran keahlian J League pula, pasukan dalam J1 League perlu membayar 40 juta Yen (RM1.5 juta), pasukan dalam J2 League pula sebanyak 20 juta Yen ( RM760,000 ) dan bagi pasukan J3 League adalah sebanyak 10 juta Yen ( RM380,000).

Ini bermakna, sesebuah kelab dalam J1 League perlu membayar sejumlah RM3.8 juta setahun kepada J League untuk memastikan mereka dapat menyertai liga dan mengekalkan status ‘J.League club’.

J League akan menggunakan bayaran yuran yang diterima untuk menjalankan aktiviti perniagaan dimana hasil keuntungan yang diperolehi akan dikongsi bersama pasukan yang bertanding. Ini tidak termasuk dengan hasil hak penyiaran dari DAZN, yang telah menandatangani kontrak 10 tahun bernilai RM8.8 billion!