Malaysia

Rasmi: Nelo Vingada Ketua Jurulatih Baru Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi telah mengumumkan ketua jurulatih baru Malaysia hari ini.

Nelo Vingada atau lebih dikenali sebagai “The Professor” memulakan karier kejurulatihan sebagai pembantu kepada Carlos Quieroz untuk pasukan bawah 20 tahun Portugal. Bersama Quieroz, mereka telah berjaya membawa pasukan itu meraih kejuaraan pada 1989 dan 1991.

Nelo Vingada memiliki pengalaman lebih 35 tahun dalam kejurulatihan ini pernah melatih skuad Arab Saudi ( 1996-97), skuad Olimpik Mesir (2004-05), pasukan kebangsaan Jordan (2007-2009) dan skuad Olimpik Iran ( 2014 ).

Pada peringkat kelab pula,beliau pernah bersama pasukan FC Zamalek dalam Liga Premier Mesir dan mengemudi FC Seoul merangkul 2 kejuaraan Liga dan Piala domestik. Selain itu, Nelo Vingada pernah juga bersama gergasi Iran, Persepolis dan kelab China Super League, Dalian Shide FC. Terbaru, beliau mengemudi skuad North East United dalam India Super League.

Berusia 64 tahun dan terkenal dengan prinsip “No-Nonsense” dan “Dominant Assertiveness” adalah faktor utama pemilihan beliau untuk mengemudi pasukan kebangsaan Malaysia.

“Saya mahu jurulatih bertindak sebagai guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia bukan sahaja mengenai melatih pemain tetapi untuk mendidik pemain kita. Dengan pengalaman dimiliki beliau, kami melihat dia adalah pilihan terbaik untuk membawa kejayaan kepada pasukan negara. Pengalaman dalam melatih skuad kebangsaan sebelum ini – termasuk skuad muda dan senior, dan juga pasukan kelab, mencerminkan jumlah etika kerja beliau.” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Selepas melihat ramai calon jurulatih tempatan dan juga asing melakukan kerja, saya merasakan Vingada adalah orang yang kita perlukan untuk jawatan ini. Saya mungkin silap tetapi hanya masa menentukannya.” tambah TMJ lagi.

Vingada menyatakan, ” Saya berterima kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menghubungi saya dan mengadakan pertemuan di Johor baru-baru ini. Ia adalah satu penghargaan kepada saya untuk melatih pasukan Malaysia. Banyak kerja perlu dilakukan dan saya tidak sabar untuk memulakannya.”