Liga Super Malaysia

Go-Jek Traveloka Liga 1: Struktur Baru Liga Bola Sepak Indonesia

GoJek Traveloka Liga 1

Musim baru dibawah PT Liga Indonesia Baru (LIB) telah dimulakan dan GoJek Traveloka Liga 1 merupakan kasta liga bola sepak paling tinggi di Indonesia.

Dalam Liga 1 ini, 18 pasukan akan bertanding merebut kejuaraan pada 2017. Setiap pasukan dalam Liga 1 dibenarkan untuk menandatangani 4 pemain import dimana 1 pemain dari AFC, 1 pemain Marquee dan 2 lagi berstatus bebas.

Maksud marquee player disini adalah pemain yang pernah beraksi dalam liga bola sepak tertinggi eropah seperti Liga Perdana Inggeris, Serie A, La Liga, dan Ligue 1 dalam tempoh 8 tahun terkini atau pernah beraksi dalam 3 edisi terbaru Piala Dunia.

Peraturan Baru Perlawanan Liga 1

Setiap pasukan dalam GoJek Traveloka Liga 1 dibenarkan untuk menyenaraikan 20 pemain dalam sesebuah perlawanan.
Bagi pertukaran pemain, setiap pasukan dibenarkan untuk membuat 5 pertukaran dimana 2 daripadanya untuk pemain U23 dan 3 untuk yang lain.

Sesebuah pasukan wajib mendaftarkan 5 pemain U23 dan 3 daripadanya wajib diturunkan minimum 45 minit. Jika pemain U23 ini cedera dan perlu digantikan, hanya pemain simpanan U23 sahaja dibenarkan masuk.

PT LIB juga memberitahu, semua pemain import boleh diturunkan dalam sesebuah perlawanan.

Selain itu, pasukan-pasukan yang bertanding juga hanya dibenarkan untuk mendaftarkan maksimum 2 pemain yang berumur melebihi 35 tahun, bagi memberi peluang kepada pemain yang masih mampu beraksi dengan cemerlang.

Juara GoJek Traveloka Liga 1 akan layak beraksi dalam kelayakan play off AFC Champions League QR1 dan manakala naib juara akan mendapat slot di AFC Cup 2018. 3 pasukan tercorot akan diturunkan ke Indofood Liga 2.

 

IndoFood Liga 2

Bagi kejohanan divisyen 2 liga bola sepak Indonesia, dikenali sebagai IndoFood Liga 2, ada 61 pasukan bertanding dalam 8 kumpulan. Terdapat 5 kumpulan yang mempunyai 8 pasukan dan 3 kumpulan yang mempunyai 7 pasukan bertanding.

Seandainya sebuah kelab mendaftarkan 30 orang pemain, maka Liga 2 Indonesia memiliki 1,830 orang pemain!

Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan seterusnya (R16), manakala 5 tercorot / 4 tercorot akan diturunkan ke Liga 3. Juara, naib juara dan tempat ke 3 Liga 2 ini akan dinaikkan ke Liga 1.

Uniknya Liga 2 ini adalah mengenai umur pemain-pemain yang dibenarkan beraksi. Semua pasukan dalam Liga 2 hanya dibenarkan untuk menandatangani maksimum 5 pemain yang berumur lebih dari 25 tahun.

Selebihnya adalah pemain-pemain dibawah 25 tahun sahaja tanpa pemain import!

Nota: Liga 2 pada 2018 akan hanya mempunyai 24 pasukan sahaja mengikut PT LIB.