Berita

Siapa Chung Mong Gyu Dan 3 Perkara Yang Malaysia Boleh Belajar Dari Beliau?

Menurut laman sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Presiden FAM, Tunku Ismail telah menerima kunjungan dari Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA), Chung Mong Gyu, semalam, dan membincangkan pelbagai idea dan bertukar pendapat untuk menaikkan mutu bola sepak.

Siapa Chung Mong Gyu? Biodata.

Dilahirkan pada 14 Januari 1962, beliau merupakan graduan pengurusan perniagaan dari Korea Universiti dan lepasan Universiti Oxford dalam bidang ‘Master of Philisophy, Politics and Economics (PPE)’.

Anak saudara kepada pengasas Hyundai, Chung Ju-Yung, ini merupakan Pengerusi Hyundai Development Company yang menjalankan perniagaan dalam pelbagai cabang perniagaan seperti pembinaan, petro-kimia, retail, hartanah dan pengurusan kewangan, kesihatan, pelancongan, muzik, sukan dan kewangan.

Chung Mong Gyu juga adalah presiden KFA yang ke 52 sejak ditubuhkan pada 1928.

Beliau terlebih dahulu dipilih sebagai presiden Korean Professional Football League (K League) yang ke 9 pada 2011 dan diantara pencapaian yang terbesar beliau adalah menghapuskan aktiviti rasuah dan mengatur keputusan perlawanan dengan berkesan.

Diperingkat kelab pula, Chung Mong Gyu, telah banyak memberikan sokongan untuk membangunkan bola sepak Korea Selatan melalui pemilikan beberapa kelab utama dalam K League. Beliau adalah pemilik Ulsan Hyundai ( Januari 1994- Disember 1996), Jeonbuk Hyundai (Januari 1997 – Mac 1999 ) dan terkini Busan IPARK FC dari Januari 2000 hingga sekarang.

Selain itu, Chung Mong Gyu juga memegang beberapa jawatan diperingkat Asian Football Confederation (AFC) dan  East Asian Football Federation (EAFF), seperti Timbalan Presiden AFC, Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, Timbalan Presiden EAFF, dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil AFC. Chung Mong Gyu juga adalah ahli dalam Jawatankuasa Pengajuran Piala Dunia FIFA.

3 Perkara Yang Kami Lihat Akan Berlaku Dalam Liga Malaysia

1) Penajaan Liga

Berdasarkan kapasiti beliau sebagai salah seorang tertinggi dalam syarikat gergasi Hyundai, tidak mustahil syarikat itu akan muncul sebagai penaja utama Liga Super Malaysia seperti yang berlaku kepada Liga Australia yang dikenali sebagai Hyundai A League.

Tiada sebarang kepastian dalam perkara ini, tetapi potensi untuk berlaku itu wujud atas faktor perniagaan Hyundai di Malaysia.

 

2) Mutu Pengadilan Liga

Sejak beberapa hari lalu, kita banyak mendengar rungutan dan ‘komplen’ berkenaan mutu pengadilan dalam Liga Malaysia. Chung Mong Gyu, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengadil AFC, dan sudah tentu perkara ini akan dibawa secara serius oleh TMJ kepada Chung Mong Gyu.

Kami berpendapat, akan ada satu seminar pengadil yang akan dibuat tidak lama lagi seperti apa yang berlaku kepada pengadil dalam Liga Indonesia, dimana 50 pengadil menerima kursus ‘refresher’ daripada AFC.

 

3) Rasuah & Mengatur Keputusan Perlawanan

Isu ini juga adalah diantara perkara yang pasti dibincangkan. Dengan pengalaman Chung Mong Gyu menangani aktiviti rasuah dan mnegatur perlawanan dalam K League, ia pastinya akan cuba dipelajari oleh TMJ untuk menghapuskan aktiviti ini dalam Liga Malaysia.

Ia adalah suatu perkara yang sukar, tetapi tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana akan memusnahkan liga bola sepak seluruhnya.

Kunjungan ini mungkin akan memberikan FAM ‘input’ berguna untuk membuat perancangan seterusnya yang bersesuaian dengan Liga Malaysia.