Malaysia

Inisiatif Tony Fernandes: Ong Kim Swee Berguru Di Queen Park Rangers Selama 1 Bulan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee akan berlepas ke London, 7 Februari ini bagi mengikuti program selama sebulan bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queen Park Rangers (QPR) sehingga 8 Mac depan.

Pemergian Kim Swee, 47, bersama penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney, 45, ke London itu ditaja sepenuhnya oleh salah satu penaja rasmi QPR iaitu AirAsia menerusi inisiatif Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang juga pemilik kelab berkenaan.
Setiausaha Agung FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, pelbagai program telah disusun bagi memastikan tempoh sebulan Kim Swee berada di London itu akan memberi manfaat dan faedah sepenuhnya kepada beliau dan juga pasukan kebangsaan.

“Kim Swee dan Brad akan diberi peluang untuk melihat sendiri sesi latihan pasukan utama QPR di Harlington iaitu Padang Latihan QPR di bawah kendalian Ian Holloway dan barisan kejurulatihannya.


“Dari situ, mereka berdua akan diberi kesempatan untuk berbincang mengenai kaedah latihan, taktikal dan persiapan menjelang perlawanan bagi mereka mempelajari sesuatu yang baharu, seterusnya mampu meningkatkan ilmu kejurulatihan mereka.

“Pada masa sama, kita juga sudah berbincang dengan Pengarah Bola Sepak QPR, Les Ferdinand untuk Kim Swee dan Brad turut diberi peluang melihat sendiri operasi akademi dan latihan pasukan peringkat umur di kelab berkenaan,” kata Hamidin pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, jemputan itu adalah permulaan kepada jalinan kerjasama antara FAM dan QPR yang turut akan melibatkan penghantaran jurulatih dan pemain ke kelab berkenaan serta kehadiran pakar dari QPR ke negara ini.

“Selain itu, kita turut akan membawa pakar-pakar dari QPR datang ke negara ini bagi membantu terutama dari segi program latihan di peringkat remaja.
“Kerjasama jangka panjang ini adalah salah satu sumbangan ikhlas kami dalam membantu perkembangan bola sepak Malaysia,” kata Kamarudin yang turut merupakan salah seorang pemilik QPR.


Sementara itu, Kim Swee menganggap peluang berguru selama sebulan bersama QPR itu sebagai peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya, terutama apabila input diterima nanti akan dapat diaplikasikan bersama skuad kebangsaan.

“Terima kasih kepada AirAsia dan QPR. Bagi saya, program ini baik untuk saya kerana berpeluang untuk melihat sendiri dengan lebih dekat perancangan sebuah pasukan kelab profesional yang bersaing di peringkat tinggi.

“Pada masa sama juga, ia membantu saya dari segi karier kejurulatihan dan boleh dibawa bersama ke pasukan kebangsaan, apa yang perlu.

“Ia termasuk juga apa yang bakal dilihat di akademi QPR seperti apa yang dilakukan kepada pemain-pemain remaja mereka, bukan saja di dalam padang tetapi juga di luar padang. Saya kira banyak benda baharu yang boleh dipelajari sepanjang tempoh sebulan itu,” kata Kim Swee.
Sekembalinya dari London pada 8 Mac depan, Kim Swee akan mengumumkan senarai pemain untuk dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan yang dijadual bermula pada 19 Mac.

Ia sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Filipina di Manila pada 22 Mac atau perlawanan persahabatan bertemu kelab China di Beijing diikuti perlawanan sulung Kumpulan B, saingan Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada 28 Mac 2017.


INFO: JADUAL PERLAWANAN KUMPULAN B, KELAYAKAN PIALA ASIA 2019

28 Mac 2017: Korea Utara lwn MALAYSIA
13 Jun 2017: MALAYSIA lwn Lebanon
5 September 2017: MALAYSIA lwn Hong Kong
10 Oktober 2017: Hong Kong lwn MALAYSIA
14 November 2017: MALAYSIA lwn Korea Utara
27 Mac 2018: Lebanon lwn MALAYSIA