Liga Super Malaysia

Fakta Fizik ‘Magnus Effect’ di Sebalik Tendangan Lencong Faiz Subri

MELANGGAR HUKUM FIZIK?

Lucu sekali mendengar apabila terdapat segelintir penulis sukan yang mengatakan jaringan cantik daripada Faiz Subri baru-baru ini, yang juga pemain bola sepak pasukan Pulau Pinang yang telah melakukan sepakan percuma ( freekick ) telah melangkah garisan (cross the line) hukum Fizik.

Sebenarnya ia tidak melanggar hukum fizik, kerana itulah hukum fizik, yang dikenali sebagai Magnus Effect.

Sepakan cantik itu telah mengelirukan penjaga gol pasukan Pahang, apabila bola itu bergerak secara membengkok (swerve) daripada arah kiri menuju ke bucu tiang gol bahagian kanan. Sangat mengagumkan apabila pemain Malaysia dalam liga tempatan mampu menjaringkan gol bertaraf dunia setanding dengan lagenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos atau David Beckham dari England suatu ketika dahulu.

1) Tendangan Faiz Subri

2) Tendangan Roberto Carlos

3) Tendangan David Beckham

DI SEBALIK ‘BANANA KICK’ FAIZ SUBRI

Apa yang menjadi persoalan di sini ialah bagaimanakah bola itu mampu bergerak secara melencong menghasilkan ‘banana kick’?

Gerakan yang terhasil lencong pada bola ini telah dikesan oleh seorang saintis Fizik dariGerman iaitu H.G Magnus pada 1853. Kesan Magnus ( Magnus Effect) ini sebenarnya bukan lagi sebuah fenomena alam yang asing yang berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Selain menjadi penyebab kepada peluru berpandu meriam membengkok apabila ia ditembak ke udara prinsip ini juga telah digunakan dalam pembuatan kapal terbang Flettner apabila dua roda bebentuk silinder diletakkan pada setiap sayap kapal terbang ini supaya angin yang yang melaluinya dapat memberi daya angkat yang mencukupi untuk menerbangkan kapal ini serta pelbagai lagi teknologi yang telah mengaplikasikan prinsip ini.


JADI, APAKAH ITU KESAN MAGNUS?

Berikut merupakan penerangan ringkas mengenai Kesan Magnus.

Kesan Magnus ialah apabila sebuah fenomena yang berlaku apabila objek yang berputar berbentuk sfera atau silinder yang dikenakan daya pada sisinya atau ; sebuah objek yang dilalukan pada bendalir ( cacair atau gas) yang turut disertakan gerakan relatif diantara putaran tersebut.

Daya angkat yang dihasilkan oleh Kesan Magnus ini ialah manifestasi daripada hukum yang terkenal berabad lamanya iaitu Prinsip Bernoulli ( Bernoulli Principle).

Prinsip Bernoulli menyatakan ;

Bendalir yang bergerak dengan halaju tinggi akan mengalami tekanan yang rendah.

Manakala, Bendalir yang mempunyai halaju yang rendah akan mengalami tekanan yang tinggi.

Maka, Daya angkat akan terhasil apabila tekanan yang tinggi menolak objek ke tekanan yang rendah.

*Gambar rajah di bawah menerangkan sedikit sebanyak fenomena yang berlaku

Bagi memudahkan lagi pemahaman kita bagi Kesan Magnus ini dalam konteks sepakan Faiz Subri, saya telah menyusun beberapa kronologi bagi fenomena unik ini.

1- Apabila bola dikenakan momentum yang kuat daripada sepakan pemain ini, momentum pelanggaran telah menyebabkan bola itu bergerak ke udara lantas menyimpan tenaga kinetik di samping turut berputar disebabkan sudut sepakan yang sedikit menyenget.

2- Bola seterusnya menerjah ke udara yang mempunyai rintangan lantas memisahkan udara kepada dua bahagian, iaitu kiri dan kanan.

3- Pemisahan bahagian udara ini telah menyebabkan perbezaan tekanan pada kedua-dua bahagian bola disebabkan halaju angin yang berbeza pada kedua-duanya.

4- Bola yang berputar ke arah kanan ini telah menarik (drag) udara di sekelilingnya lantas menghasilkan satu bahagian yang mempunyai halaju yang tinggi. Mengambil semula Prinsip Bernoulli, halaju bendalir yang tinggi menghasilkan tekanan yang rendah.

5- Pada bahagian kiri pula, halaju angin adalah rendah menghasilkan tekanan yang rendah. Disebabkan itu, sebuah (daya) Kesan Magnus terjadi menyebabkan bola tertolak ke kanan disebabkan tekanan yang tinggi bergerak ke tekanan yang lebih rendah.

6- Akhirnya, bola bergerak secara membengkok membentuk abjad ‘C’ lantas menerjah gawang gol dengan penuh dramatik yang terselit di sebaliknya Hukum Fizik yang tidak dilangkaui.

Nota: Terima kasih MajalahSains.com kerana memberi kebenaran untuk kami menerbitkan artikel ini di Football Channel.